Tuesday, 28 May 2013

Alumni prihatin : KUNJUNGAN UNIVERSITI DIHARGAI

Alumni sering diberi perhatian oleh pihak Universiti kerana sumbangannya kepada kejayaan sesebuah universiti. Selain menjalankan aktiviti, alumni dengan pihak universiti juga merupakan salah satu wadah untuk mengeratkan hubungan.
Menyedari hakikat tersebut, Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Alumni telah membuat kunjungan dan menyerahkan sumbangan RM 1,000.00 kepada keluarga Allahyarham ASP Zulkifli Mamat baru-baru ini. Allahyarham merupakan pelajar Program Sarjana Muda Komunikasi jarak jauh di Pusat Pengajian PJJ UUM Kota Bharu Kelantan dan bakal bergelar graduan pada Oktober 2013 telah terkorban dalam peristiwa pencerobohan Lahad Datu yang berkampung di Taman Putra Sentosa, Ipoh pada 9 Mac 2012 yang lalu. Sumbangan tersebut diserahkan kepda isteri arwah iaitu Puan Noor Aizah Noor yang juga merupakan bekas pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Kewangan.
Di samping itu, Pusat Alumni turut menziarah keluarga Allahyarham Leftenan Komander Muhammad Rizeki Rosli di Sungai Petani, Kedah yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 3 Februari 2013. Beliau merupakan lepasan Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan pada tahun 2006. Isteri Allahyarham iaitu Puan Noor Azreyanti Ishak yang juga merupakan pelajar UUM peringkat sarjana muda dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia berasa terharu dan berbesar hati kerana UUM mengambil berat terhadap musibah yang menimpa dirinya.
Dalam kunjungan ke negeri Johor pada 2 April 2013, Pusat Alumni berkesempatan untuk mengunjungi keluarga Allahyarham Musa Ahmad di Kluang yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 13 Januari 2013. Beliau merupakan lepasan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pada 2012.
 Pada 4 April 2013, Pusat Alumni telah menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada Puan Suhaila Cik Ismail kerana telah kehilangan suaminya iaitu Encik Shamsul Kamar Shafie akibat kemalangan jalan raya pada 13 Januari 2013. Kedua-duanya merupakan alumni UUM di peringkat sarjana muda.
Lawatan universiti ke Hospital Besar Pulau Pinang pada 7 Februari 2013 telah menemukan Pusat Alumni dengan Encik Kamal Baharin Baharuddin, iaitu bekas pelajar di peringkat sarjana muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Beliau yang telah tamat pengajiannya pada tahun 1999, kini berada di hospital tersebut untuk menjalani rawatan susulan.

Kunjungan terakhir Pusat Alumni adalah mengunjungi bekas pelajar Program Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan  iaitu Puan A’bir Md Yusoff di Pendang. Beliau mengalami masalah kesihatan yang serius dan terpaksa mengambil cuti sakit untuk merawat penyakit yang dihadapinya.

No comments:

Post a Comment