Tuesday, 28 May 2013

WAHAI BAPA

Dikau bagai rembulan penuh..
Menyatakan cahaya walau dalam rimbun pepohon..
Andai dedaun kering menjadi baja…
Bagi tanah-tanah lembap..
Dikau pula, penyubur hati dunia..
Kami ingin menumpang dirimu..
Di bawah cahaya kami berbayang…
Dikau tidak berbayang…
Dikau tidak mampu digambarkan…
Sekiranya alam jadi pencerita..
Pasti kelu lidahnya alam..
Tidak mampu menggambarkan..
Di mana permulaan dan di mana akhirnya kalam…
Pada dirimu terlihatnya taman..
Pada dirimu terkerdip tatah-tatah berlian..
Pada dirimu lengkaplah semuanya..
Wahai bapa sekalian bapa…
Sungguh mujahadah dalam merindumu…
Tak lepas dari dusta..
Daku terpelanting diduga dan diduga…
Wahai bapa sekalian bapa…
Seni bicaramu halus mulus…
Kasih sayangmu merantai neraka…
Syafaatmu menutup murka…
Wahai bapa sekalian bapa..
Penyata akhlak yang paling mulia…
Sejahteralah Dikau selamanya…
Wahai Allah yang Maha Esa…
Campakkan rasa kasih buatku…
Lemparkan rasa sayang padaku..
Limpahkan serpihan rindu untukku…
Agar aku dirinya itu…
Walau tidak kulihat di kaca mata…
Cukuplah daku merasa…
Indahnya bercinta dengan Nabi Saw…

TERIMA KASIH

Terima kasih
Cuma itu yang kudamba…
Terima kasih…
Itu tanda orang yang menghargai…
Terima kasih..
Sekadar ucapan biasa…
Terima kasih…
Itu tanda sebuah ikhlas…
Terima kasih…
Keramatnya dirasa…
terima kasih…
perkataan anak kecil…
terima kasih..
tapi…
kerana terima kasih itulah..
mata mampu bergenang…
kasar menjadi lembut..
sakit mampu sembuh…
dendam jadi debu..
yang pasti..
terima kasih Tuan punya badan..
terima kasih wahai Tuhan…
memberi daku erti kehidupan…

terima kasih Tuhan…

TERIMA KASIH TUHAN

Aku tiada tahu apa yang mampu kutulis tentangmu…
Bagaimana wajahmu??aku tidak pernah melihatnya…
Apatah lagi senyumanmu…dan aku tidak mahu ambil tahu..
Kerana aku kenalmu melalui hijab alam…

Kuhulur sepatah salam menjunjung agama…
Dikau sahut sambil jabat mesra jawapannya…
Aku tahu di balik jasadmu itu tersembunyi…
Tabir-tabir ilmu yang sentiasa memperbaharui jiwaku…

Ketika roda nasib itu berputar dan berputar…
Ada kalam Tuhan diselit dalam percakapan…
Lantas aku terdetik bertanya Tuhan…
Siapa dia??mengapa dia???
Lalu wujud ilham jawapan…bunyinya bermaksud…
Dialah sahabat dia juga teman…

Biar waktu bergulir…
Aku terbangkan senyumanku melalui angin untukmu sahabat…
Kerana aku tidak akan tatap wajahmu…
Apatah lagi kau untuk lihat wajahku…
Biar alam jadi dinding…
biar waktu jadi batas…
kita kenal tanpa lihat…
kita mesra tanpa suara…
kita berkongsi penuh rasa…
yang pastinya semuanya dari Tuhan…

Namun ketika  Tuhan izinkan aku berfikir…
kucuba kecap nikmat fikir…
bila aku tenggelam dalam fikir…
aku sedar kau sahabatku yang dihijab wajah oleh Tuhan…

Andai dikau berteleku di sejadahmu…
Menadah keampunan dengan air mata..
kenanglah daku dalam munajatmu…
walau tak jumpa di sini, biar jumpa di tempat abadi….

Bila ada senyuman bergarit di bibir..
Aku berterima kasih buat Tuhan…
Kerana izinkan daku ini miliki sahabat yang berjuang…
Terima kasih Tuhan…

Terima kasih Tuhan…

Terima Kasih Ibu

Tika aku pandang ke langit Tuhan..
Kulihat simpulan awan berlari laju…
Teringat zaman kecilku…
Duduk di pangkuanmu lalu…
Dibelai atas kepala dikucup di pipi..
Aku terjun ke zaman itu, melihat pengorbananmu…

Sebenarnya…
Betapa jauhnya waktu telah ditinggalkan…
Hari ini aku melihat…
Di bahagian atas kepalamu…
Rambut yang mengunjungi kini sudah memutih..
Di dahimu bercorak garis-garis tua..
Di bahumu tergalas selaksa peristiwa…
Sehingga kulihat peristiwa itu di air mukamu yang syahdu…

Kau masih terus berjalan…
Dengan kakimu itu…kaki yang sudah tua…
Masih menjamah dengan tanganmu itu…
Masih berbantalkan lengan dalam tidur nyenyakmu…
Dan aku….sudah pandai memerhati waktu…
Dan aku….sudah dewasa waktu ini…
Aku tidak mahu membuang waktu…
Bila masa masih bersisa…biar kuhampar baktiku…
Menjadi alas sisa hidupmu…
Kerana kini aku mulai faham…
Tuhan kurniakan dikau buatku…
Agar aku hargai pengorbananmu..
Agar aku tak melonjak lupa diri…

Setiap sifat dalam diriku..
Kau benihkan dengan kasih sayangmu…
Terima kasih ibu…menjadikan aku insan..
Walaupun serba kurang…membuat aku tahu..
Daku ini terselimut dalam kasih sayangmu..
Daku ini didakap cintamu yang luhur…
Benar…dikau sudah tua…
Tapi setiap gerakmu tiada luntur dengan kasih sayang…
Dikau langsungkan kegembiraan ku…
Namun, di malam hari kau bilas tangisan mu dengan doa…
Ingin ku bayar nikmat Tuhan yang mengelilingi ku…
Namun, aku hamba Tuhan yang banyak punca kekurangan…
Tuhan, anugerah Mu terlalu hebat…
Menghadirkan seorang ibu untuk daku hamba MU…

Duhai ibu..
terima kasih…cinta mu mendewasakanku…
Duhai ibu…

Terima kasih…

SAAT PERKHABARAN DATANG

Kukikis karat tebal di hati..
Jemari ku luka..
Tertikam karat-karat hina..
Siapa yang hina?
Aku atau karat yang aku bina…?
Aku terus mengikis karat itu…
Mengharap air mata mampu
Melekukkan karat-karat di hati…
Seperti air melekukkan batu..
Kian hari…
Yang berkarat semakin teruk..
Jemari ku lumpuh…
Tangan ku patah…
Aku hilang daya…
Saban hari aku sedar..
Tapi aku tak bernyawa…
Saban malam aku terjaga..
Tapi langkahku sama juga…
Saban petang aku berjanji…
Aku masih mungkiri..
Menebal rasa berat…
Terhempap di bahu hati..
Tergalas di pundaknya jiwa…

Dulu rasanya enak…
Tiada fikir hujung dan pangkal..
Sekali melangkah ke sini..
Hujungnya tak mampu disampai kenderaan…
Pangkalnya tak tersentuh fikir waras…
Berkali diterjemah…
Tiada maksud terungkai..
Bila sampai rasa dan kefahaman…
Gambarannya perbuatan..
Saat perkhabaran datang…

Barulah tahu peritnya di jalan Tuhan…

BERUBAH

Rindu dendam…kabus tebal diari hidup…
Ohh…lintasan demi lintasan..
Tiada dinding jadi penghalang ….
Tak sembuh hari ke hari…
 Mestikah aku lari…
Melepas siksa di hati…?
wangianmu…meniti di badan angin…
Ohh..dinginnya…menoreh ke tulang hitam…
Ngilu kejam tiada tahan…
Siapa kau yang menjelma???
Tak pernah sebegini…

Kemuncak rindu yang mati…

Berbicaralah padaku…
Dengan cara bahasamu…
Biar aku tahu…sebenar hadirmu…
Sedarkah???
berubah????

Kau tak serupa lagi…
Manikam di langit gelap…
Mustahil untuk direnung…
Jauh kabur bentuk…

DI SANA UKHRAWI

Malam ini aku bersedih lagi..
Aku mencari punca kesedihan itu..
Mencari dan terus mencari..
Setelah bangkit dari tidur malam ini…

Angin di perbukitan kawasan ini…
Bagai menggelupur menangisi sesuatu..
Menghempap dedaunan tanpa rasa belas mahupun kasihan..
Daun berselirat di wajah bumi..
Berburung berperang sesama sendiri…

Malam ini hatiku berbisik lagi..
Hai hati…apakah yang kau tinggalkan hari demi hari??
Di balik pintu bilik di rumahmu, apa yang kau tinggalkan?
Aku terpaku di balik suara hati itu…

Di belakang pintu..
Ku tinggalkan seuncang besar kekuatan..
Kemari hadir di sini…
Ditemani rasa sepi berpanjangan..

Aku selak selimut yang tertebar di atas pembaringanku..
Mengintai-intai takdir yang diusung waktu..
Ketika waktu siang aku bermimpi aku laungkan azan..
Lantas pula mengimamkan solat jemaah yang ramai…

Aku mencari-cari..
Getus hati yang bercelaru..
Kenapa jadi begini dan begitu..
Kali ini kuselak daun pintu…
Merasakan Tuhan bersembunyi di balik itu..

Alam mengherdikku…
Aku bukan anak Tuhan..tapi aku hamba Tuhan..
Aku berjanji ingin balik ke hadrat Tuhan..
Sampai setengah jalan…
Dipukul badai nafsu..
Dilibas cemeti duniawi..
Aku lupa usul yang kupaut dulu..

Di malam hari ini…
Ketika ada rasa sayu bermukim..
Hati masih berkata-kata..
Ku cari di mana mulutnya hati itu..
Sebelum kutemui jawapannya..
Hati itu berpuisi merdu..
Dunia itu main-main tempat berlabuh sehari atau setengah hari..
Marilah mendaki tebing tinggi..

Di sana adanya ukhrawi..tempat selama-lamanya abadi…

KESEKIAN KALINYA

Untuk kesekian kalinya...
Hati hamba ini terkoyak rabak lagi…
Kesamaannya seperti hari-hari lepas…
Waktu kau berjalan menjauhi aku…

Untuk kesekian kalinya…
Aku menemuimu…tetapi kali ini..
Ada garisan penghalang di tengah..
Nak kurempuh badanku tak bermaya…

Untuk kesekian kalinya…
Kau bagai orang-orang…
Berjuntaian di ampaian kainku…
Memegang sekuntum mawar hitam…

Aku bentangkan sejuta alasan di sini…
Bersama sejambak mawar berdarah…
Andai mawar hitam yang kau pegang itu
Simbolik matinya cintamu…
Sejambak mawar berdarah yang kubawa ini pula…
Tatapan sekeping hati yang berdarah lagi…

Aku belajar membencimu…
Tapi hari yang bertapak pada usiaku…
Umpama kesinambungan rasa yang menghembus batinku…
Aku kejar awan yang berlari…
Tapi aku ditinggal di bawah mentari…
Legam terbakar sampai ke nurani…
Kusangka hangus itu bakal pudar dititik hujan…
Bila hujan datang yang hangus itu rasanya pedih…

Kesekian kalinya aku termenung…
Bagai orang hilang tujuan…
Bila ada mereka yang membaca tulisanku…
Mereka berkata…aku terkurung dek tekanan perasaan…

Di meja ini…
Kelilingku menjadi saksi bisu…
Kau tak menangis keranaku…
Tapi aku agungkan rasa sebuah kecewa…
Bukan kerana aku tak menderita..
Tapi…
Kerana aku ini belajar jadi setia…
Sehingga masa berkata….larilah ke benua lain…
Agar hilang rasa setia itu…


Kekasih serupa..

Ketika aku bertandang ke rumah kekasihku..
Aku melihat dikau pun berserta di situ…
Di rumah itu…
Di rumah kekasihku…
Namun di hati tak terdetik rasa cemburu..
Ada senyuman salam…
Disambut jabat mesra kasih sayang…
Aku kenalmu???
Itulah soalan yang tertujah di hati hamba…
Rupamu jernih sekali…
Cintamu pada kekasihku dalam tak terperi…
Terperosok di bucu rumah itu..
Kau tidak malu menangis mohon simpati..
Belas ihsan…
Aku…sekadar memerhati…
Padahal dalam hati..
Petir menyabung bersatu guruh berdentum-dentum…!!
Bergoyang-goyang hatiku..
Agung benar cintamu pada kekasihku…
Cintaku pula,bagai air yang pasang surut…
Aduh…manusia hebat…!
Celaka aku,menduakan cinta kekasihku…
Aku lihat,air sedikit dalam telapak tanganmu..
Membasuh setengah anggota gerakmu..
Sempurna sungguh…
Aku tunduk malu..
Kasihmu dalam tak terperi..
Bagai kenal diri sendiri..
 Bagai diri sudah terdiri..
Bagai diri sudah tajalli..
Bagai diri sudah terperi..
Awal agamamu kau kenal dirimu..
Kekotoran dalam diri kau buang hari-hari..
Aku masih terpersona akan duniawi..

Kekasihku , kekasihmu serupa beraja di hati Allahurabbi… 

Itu cara sufi…

Aku melihat..
Sufi di jalan hidupku…
Pakaian mereka compang camping…
Solat mereka di merata tempat…
Tiada hirau malu akan dunia…
Aku melihat..
Sufi di jalan hidupku..
Ragam mereka di luar jangkaan..
Sedang bercakap dia qiam..
Menyempurnakan 13 rukun dalam solat…
Aku melihat..
Sufi di jalan hidupku..
Merantau berkelana..
Hablulminannasnya terlalu cantik untuk dicerita…
Hablulminallahnya seolah-olah tiada lena menjenguk mata…

Aku ingin berkelana seperti sufi..
Menjauhi duniawi melepas penat di hati..
Merajakan Allah di ruang hati…
Namun..ketika aku sedar..
Jurang pada tebing kakiku…
Terlalu tinggi…
Andai berbekal tali-temali..
Masih belum tentu kujijak dasar maknawi…
Merangkak masih belum tentu..
Apatah lagi berlari tanpa dipimpin jemari..
Sedarlah sebuah jasad bertulangkan diri…
Ilahiantal maqsudi..

Waredhoka matlubi…

DIA JATUH CINTA


Dia tak banyak bercakap..
Mungkin kerana masa silamnya..
Banyak mengajarnya diam..
Dia banyak senyum..
Tarbiahnya pun lembut sekali…                                                    

Dia langsung berubah…
Dulu dia itu compang camping…
Rambutnya meleret sampai ke bahu..
Sekarang …cukup berbeza…

Berduit katanya bahaya..
Tak berduit katanya lain pula…
Dia pelik..
Memang pelik…

Dia…berperangai semacam…
Ramai orang kata dia sudah jatuh cinta…
Cinta yang macam mana??
Katanya…cintanya buat dia menagis setiap malam…

Bagaimana boleh menangis bila jatuh cinta??
Banyak soalan..tapi tidaklah pula terjawab…
Kusela melihat rupa…
Dia jatuh cinta ketika dalam solatnya…

Kerana itu jubahnya wangi walaupun selalu tertitis dek air mata…

SAHABAT

Di sini kita singgah..
Di bawah pohon rimbun..
Dedaunnya menghijau
Langsung damai hati ini…

di sini kita berdiri..
di bawah atap Tuhan membina bakti..
memperjuang secangkir budi…
kau sahabatku…
aku sahabatmu…

pernah ketika…
kita melangsungkan angan indah…
di sudut-sudut dunia yang kita singgah…
mengalunkan fikiran bagai gemersik lagu anak kecil…
kita tertawa…

pernah ketika…
berjuta alasan menjadi hamparan…
berseloroh kata-kata  terlalu asyik…
hingga lupa menjaga hati…
kita menangis…

sahabat…dikau bagai liang roma…
halus sukar dilihat…tapi berbudi terlalu banyak…
sahabat…dikau bagai derap tapak kaki…
di mana melangkah selalu ada..
kadang dilihat…kadang tak dinampak…

sahabat…
hidup ini miliki kesudahan yang bernoktah…
hidup ini juga seperti mimpi yang telah diatur…
andai aku dipukul ribut nafsu…
tariklah lenganku dengan kalam haqq..
andai aku tenggelam dalam suara kutukan…
tiuplah dengan kasih sayang…

di sini tiang kasih..
di sini tiang sayang…
yang kita bina di sudut hati masing-masing…
biarlah kekal tiang itu…
biar kelak ditanya Tuhan kenapa kita bersama??
Kita bersama kerana kasih sayang…
Kasih sayang yang berupa apa?
Kasih sayang berupa rahmatMU Tuhan….

Tuhan…aku miliki sahabat…
Bila kami tergelincir...jatuhkanlah kami…
Jatuhkanlah kami di lorong empuk kasihmu…
Biar aku berpimpin tangan dengan sahabatku…
Selalu tersenyum memujaMU….



DESA PENAWAR

Desa pewar…
Ramai kelibat manusia di situ…
Dalam ceruk hutan sawit..
Apa mereka inginkan???
Ada tujuan yang tersendiri…

Di situ…
Dipagari…
Dengan kepelbagaian rasa hamba…
Rendah diri..
Rendah hati…
Tiada daya..
Di situ dicipta rumah taubat…

Di situ desa..
Tempat diuzlahkan jiwa..
Tempat diislahkan segala-galanya…
Maka…
Terbukalah pintu-pintu taubat…

Mereka yang kotor…
Menjalani hidup di situ…
Kerana di situ tempat taubat..
Dan taubat itu adalah pintu…
Pintu kemasukan ke daerah suci..
Milik Tuhan alam…

Desa penawar..
Lahir dari fikir…
Terbentuk dari maksud…
Terbina bersebab jisbah..
Berkerana satu matlamat…
Lalu berkatalah…

Ilahiantal maqsudi…waredhaka matlubi…

Cermin itu Hilang

Di hadapanku..
Sekeping cermin tembus pandang..
Aku tak terlihat di cermin itu..
Yang ku nampak kau ketawa mengekeh..

Ku hulurkan tangan..
Dengan harapan tangan ku
Mampu tembusi cermin itu..
Dan cermin itu sekadar angan-angan yang tak wujud..

Realiti ini pahit untuk ku telan…
Bila aku berkelip mata…
Kau hilang entah ke mana…
Fikiran ku terjebak dengan cerita lama..
Novel tertutup tahun-tahun lalu…

Ku hembus nafas
Pada jarum jam di depan wajah ku..
Harapnya jarum itu berhenti dan waktu juga tak berpusing…
Tujuannya…agar dapat ku tilik wajah mu lama-lama…
Aku mabuk minum lautan cinta…
Bayangan mu sahih sekali…
Di mana mata ku memandang terbitlah dikau…
Ku panggil nama mu…
Manakan kau endah di balik cermin…
Setia dengan ketawa yang tak berbunyi…
Anggun sungguh srikandi itu…
Aku memandang sekeliling…
Tiada udara yang bersuara…
Aku sentuh di pipi…
Ketara aku merasa…sejuknya pipi hamba…
Dari belakang tangan ku raut sampai kelopak mata…
Rupanya, ada air mata teman berduka…

Kau lenyap lagi…
Cermin itu mulai berwap dek hembus nafas letih…
Ku gosok-gosok supaya jernih kembali…
Harapnya lihat ketawa mu lagi…
Di depan ku rupanya hari ini…
Kau hilang bagai embun terkena mentari…
Cermin itu hilang…
Cermin itu hilang…


Dari baringan aku bangkit
Duduk melunjur memegang ibu jari kaki…
Tangan memegang dada di sebelah kiri..
Degupannya macam nak henti…
Kau datang dan pergi…
Sehingga aku bermimpi dan bermimpi…

Aku bermimpi lagi…

BENARLAH

benarlah…yang ku pandang Itu…
Tika saat mata bertemu menusuk di kalbu….
Tersenyum berhibur bagai anak kecil…
Indah……
Benarlah…kisah kita masih subur…
Di satu sudut ingatan lama yang gagal kusingkirkan…
Tersekat lemah….terhenti lelah…
Penat…
Kau wujud ada…
Di mana-mana….
Serasikah kita????
Sepagiku mendengar engkau bercerita tentang
Rasa sakit di ruang harimu…
dan terjaga…merasakan kau masih ada…     
dan tertawa… bagai insan gila…
dan tertawa…ku berputih mata…
dirasuk kecewa…..
engkau tak sempurna…
Kau luar biasa….
Menundukkanku






MASIH MENULIS TENTANGMU

Aku masih menulis tentangmu
Aku tidak tahu kenapa..
Mengintai cinta di hari yang berlalu..
Kau pepasir yang melumuri pantaiku…
Bagai muzafar harum di anggota anak Adam..

Aku masih menulis tentangmu…
Dalam bahasa-bahasa indah..
Aku masih memujimu…
Menyelak kenangan bersisa..
Saat wajah bertentang mata..
Rohaniku diketuk lagi…
Tanpa salam mesra untuk dijawab sempurna…
Ke mana menghilang cinta semalam???
Hilangnya ketika aku dan kau lenyap hala tujuan…

Aku masih menulis tentangmu..
Kuserlahkan dengan alunan melodi…
Memanglah merobek jantung hati…
Kerana kulihat wajahmu tiada bergerak…
Dalam kepingan gambar yang tak mampu ku ramas punah…

Aku masih menulis tentangmu..
Selepas aku bertemumu lagi…
Setelah aku melihat wajahmu lagi…
Di gigian air aku dengar…
Ombak menangis merayu angin…
Jangan gelorakan jiwa yang tak tenang…
Malam itu kudengar suaramu…
Bakal menghabisi pertunangan…
Bakal menghiasi hantaran…
Menunggu hari pernikahan…
Aku ini bagai digari rintihan kenangan…
Sekejap kau bersamaku…
Seolah-olah kita masih di situ…
Berbumbungkan dingin kasih sayu sayang…
Jauh sudah hari itu tertinggal…

Aku tulis sebuah puisi..
Bukan untuk kau tahu…
Sekadar melarikan diriku..
Dari penjara yang kita sulam….
Aku tulis puisi buatmu…
Kuisi doa sebagai temanmu…
Unsur namamu dari cahaya…
Terangilah hidup suamimu…
Melereng,mendatar,mendaki,menurun…
Pautlah lengan dia…
Takut tersungkur suamimu itu…
Biarlah jatuh rebahnya di pangkuanmu…
Memang aku tidak bahagia…
Tapi Allah lengkapkanmu dalam diriku…
Kau bukan kasturi yang harum…
Apatah lagi tamar yang manis…
Kau peria yang pahit…
Yang kutelan satu ketika dulu..
Tapi kelatnya menghias tekakku..
Turun ke hati membusuk di situ…

Jari ini masih terasa menggigil…
Sukar untuk berhenti melakar tentangmu…
Tapi janji Tuhan itu pasti…
Kau bakal bersentuh halal dengan suamimu…
Aku perlu undur diri…bukan hari ini…
Sebenarnya dari dulu lagi…
Luka lama menyinsing hati…
Bagi hatimu yang gembira…
Selamat ke jinjang pelamin…
Jabat akad suamimu kuiring munajat…
Semoga redHa Allah jadi tuntutan…


5 CIRI PENULISAN YANG BAIK

Setiap penulisan yang baik perlulah memiliki hala tujunya dan juga sebagai medium yang digunakan untuk menyampaikan kebenaran. Selain itu, antara ciri penulisan yang baik ialah, perkara yang ingin disampaikan oleh penulis jelas dan tidak kabur. Contohnya karya atau penulisan yang diterbitkan yang mempunyai nilai pemujukan, penerangan dan penyelesaian masalah dapat dikenal pasti oleh pembaca. Selain itu ialah penggunaan tatabahasa yang baik serta penggunaan bahasa yang baik serta senang difahami bergantung pada kategori pembaca yang akan membaca jenis-jenis penulisan yang diterbitkan. Ciri penulisan yang baik ialah dapat memberi kepuasan kepada pembacanya serta menepati ciri kepuasan kepada pembacanya. Selain itu, penulisan yang baik perlu memiliki kesahihan dalam menyampaikan maklumat dan mampu memberi tarikan kepada pembaca untuk mengetahui perkara yang ingin disampaikan oleh penulis.

PUISI LAHAD DATU


Suara hati masih girang,
Yang sebenar darah sudah mengalir…
Lencun bumi Lahad Datu,
Dihiris senapang dan senjata perang…

Suara kental anak pejuang
Bergema di pinggir sudut..
Ketakutan menjadi igauan..
Suramnya suasana itu…
Tentera sudah bergelimpangan..
Balik ke hadrat Tuhan..

Bumi yang tak pernah ku pijak itu,
kini hadir menghiasi ruang kepala..
Anak-anak merdeka ditimpa bencana darah,
Tanah merdeka tetap merdeka..
Ada suara mereka kedengaran jauh tak perasan…
Lahad Datu itu milik kami…
Tanah kami jangan diusik…
Biar kami mati..
Biar kami hilang asal ada juang tanda sayang…
Biar keringat ini jadi saksi…
Biar menangis anak dan isteri…
Pasti berjuang ke pangkal kesudahan..
Andai mayat ini dilangkah musuh,
Andai jasad ini dikelar musuh,
Andai perut ini ditikam musuh,
Biarlah melekat darah di situ,

Sebagai tanda syahidnya budi.

LIRIK LAGU


Tika terbuka hari 
Cahaya yang cerah 
Menerangi hatimu 
Mulus terbias di wajah 


Kau sambut dengan redha 
Hadirnya hidayah 
Nekad pendirian terungkai kalimah 

Nur Syahadah menyinar kalbu 
Murni seharum namamu 
Hadirnya dicelahan 
Kekalutan kalbumu itu 

Nur Syahadah telah tertulis 
Pada waktu dan juga takdir 
Di antara seribu engkau yang terpilih 

Sejernih embun pagi 
Sebersih dirimu 
Tanpa dicemari walaupun sebutir debu 
Kekallah oh dirimu di dalam rahmat-Nya 
Iringan doaku moga kau bahagia 

Akan ku bimbingmu 
Sekadar yang ku termampu 
Menyemai iman dan menuai takwa 
Biar tak bertemu di gerbang mahligai cinta 
Cukuplah sekadar teman yang biasa 

Nur Syahadah menyinar kalbu 
Murni seharum namamu 
Hadirnya dicelahan 
Kekalutan kalbumu itu


Nur Syahadah telah tertulis 
Pada waktu dan juga takdir 
Di antara seribu engkau yang terpilih 
Bersatu Nur Syahadah di dalam syahdu? 


Seperti yang kita semua tahu, lagu merupakan antara medium untuk manusia menyatakan sesuatu. Cara penulisan yang mudah untuk memberitahu orang di sekeliling tentang sesuatu perkara yang tersirat atau berkaitan perasaan kecewa, bahagia, menderita dan sebagainya. Lagu yang hebat ialah lagu yang dapat dirasa oleh pendengarnya dan pendengar mampu mentafsir maksud yang ingin disampaikan dalam lagu tersebut. Antara lagu yang hebat ialah Nur Syahadah yang didendangkan oleh kumpulan Far East.
Lagu ini menceritakan tentang Tauhid kita kepada Allah s.w.t. dan dalam lagu ini juga menerangkan tentang Syahadah yang telah tersemat di dalam hati kita. Apabila kita telah dilahirkan ke dunia ini, maka kita diazankan dan diiqamahkan pula. Kalimah tauhid itu telah kita dengari ketika kita dilahirkan ke dunia ini.
Dalam lagu ini cara penulisan liriknya mampu menarik hati pendengar dan membuat para pendengar berfikir tentang kalimah Syahadah itu sendiri. Sekiranya kita memahami, Syahadah itu  akan membersihkan diri seseorang kerana jiwanya telah mentauhidkan Allah s.w.t..
Secara keseluruhannya lirik lagu ini mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada pendengar apabila seseorang mendalaminya.





PENULISAN KREATIF Tulis ungkapan kreatif berdasarkan perkataan-perkataan berikut. Beri makna frasa-frasa tersebut.

1.      Bunga : bunga rahmat
Makna : rahmat yang mendamaikan
2.      Angin : angin cinta
Makna: angin yang mendamaikan
3.      Bulan : bulan menangis
Makna: kesedihan yang luar biasa.
4.      Malam : malam muram
Makna : malam yang tidak berseri
5.      Cinta : cinta hamba
Makna : cinta orang yang beragama
6.      Rindu : rindu berakar
Makna : rindu yang terlalu hebat
7.      Lautan : lautan nafsu
Makna : nafsu yang tiada batas
8.      Burung : burung bisu
Makna  : tidak mampu bersuara
9.      Pohon : pohon berduka
Makna : tempat berduka
10.  Bahtera : bahtera wawasan
Makna : perjalanan menuju destinasi.

Alumni prihatin : KUNJUNGAN UNIVERSITI DIHARGAI

Alumni sering diberi perhatian oleh pihak Universiti kerana sumbangannya kepada kejayaan sesebuah universiti. Selain menjalankan aktiviti, alumni dengan pihak universiti juga merupakan salah satu wadah untuk mengeratkan hubungan.
Menyedari hakikat tersebut, Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Alumni telah membuat kunjungan dan menyerahkan sumbangan RM 1,000.00 kepada keluarga Allahyarham ASP Zulkifli Mamat baru-baru ini. Allahyarham merupakan pelajar Program Sarjana Muda Komunikasi jarak jauh di Pusat Pengajian PJJ UUM Kota Bharu Kelantan dan bakal bergelar graduan pada Oktober 2013 telah terkorban dalam peristiwa pencerobohan Lahad Datu yang berkampung di Taman Putra Sentosa, Ipoh pada 9 Mac 2012 yang lalu. Sumbangan tersebut diserahkan kepda isteri arwah iaitu Puan Noor Aizah Noor yang juga merupakan bekas pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Kewangan.
Di samping itu, Pusat Alumni turut menziarah keluarga Allahyarham Leftenan Komander Muhammad Rizeki Rosli di Sungai Petani, Kedah yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 3 Februari 2013. Beliau merupakan lepasan Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan pada tahun 2006. Isteri Allahyarham iaitu Puan Noor Azreyanti Ishak yang juga merupakan pelajar UUM peringkat sarjana muda dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia berasa terharu dan berbesar hati kerana UUM mengambil berat terhadap musibah yang menimpa dirinya.
Dalam kunjungan ke negeri Johor pada 2 April 2013, Pusat Alumni berkesempatan untuk mengunjungi keluarga Allahyarham Musa Ahmad di Kluang yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 13 Januari 2013. Beliau merupakan lepasan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pada 2012.
 Pada 4 April 2013, Pusat Alumni telah menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada Puan Suhaila Cik Ismail kerana telah kehilangan suaminya iaitu Encik Shamsul Kamar Shafie akibat kemalangan jalan raya pada 13 Januari 2013. Kedua-duanya merupakan alumni UUM di peringkat sarjana muda.
Lawatan universiti ke Hospital Besar Pulau Pinang pada 7 Februari 2013 telah menemukan Pusat Alumni dengan Encik Kamal Baharin Baharuddin, iaitu bekas pelajar di peringkat sarjana muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Beliau yang telah tamat pengajiannya pada tahun 1999, kini berada di hospital tersebut untuk menjalani rawatan susulan.

Kunjungan terakhir Pusat Alumni adalah mengunjungi bekas pelajar Program Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan  iaitu Puan A’bir Md Yusoff di Pendang. Beliau mengalami masalah kesihatan yang serius dan terpaksa mengambil cuti sakit untuk merawat penyakit yang dihadapinya.

Selain ijazah dan ilmu-ilmu yang anda pelajari dalam tempoh pengajian anda di universiti, apakah kemahiran lain yang dapat memberi nilai tambah dalam usaha anda mempersiapkan diri memasuki alam kerjaya.

Memasuki alam pekerjaan merupakan saat yang paling mendebarkan bagi golongan mahasiswa. Alam pekerjaan merupakan alam yang perlu diterjemahkan segala kepakaran untuk memastikan setiap kerja yang diberikan terlaksana. Setiap orang memiliki kelebihan yang tersendiri dan itu adalah keunikan yang dikurniakan yang maha Esa kepadanya.
Antara keunikan yang terdapat dalam diri manusia yang mampu menjadi nilai tambah untuk dirinya mendapat sesuatu pekerjaan ialah cara mengatasi masalah dan mengambil masalah itu sebagai cabaran yang perlu diatasi dengan cekap dan berkesan. Terdapat juga individu yang berkebolehan dalam bidang sukan contohnya hoki, bola tampar, badminton, ping pong dan sebagainya. Kebolehan bersukan ini digunakan sebagai aset untuk menyerlahkan diri dan memberitahu tentang gaya hidup sihat yang dijalankan oleh individu berkenaan. Selain itu, kemahiran yang perlu ada ialah kemahiran berfikir dengan positif. Berfikir dengan positif akan membuatkan diri seseorang memandang cabaran sebagai satu peluang.
Oleh itu kemahiran yang unik adalah aset yang perlu disemat dalam diri setiap bakal pekerja. Hal ini kerana, setiap kemahiran yang ada dalam diri merupakan nilai tambah yang akan memberi peluang kepada seseorang untuk mendapatkan kerja.

PENGHAPUSAN TOL

Isu tol yang menjadi bahan pihak pembangkang untuk memanipulasi keadaan politik di Malaysia telah menyedarkan rakyat bahawa pembayaran tol kini menjadi beban kepada rakyat. Masalah ini mula diteliti oleh pihak kerajaan dan proses pengkajian semula tentang tol di lebuh raya di Malaysia sedang dibahaskan serius oleh pihak kerajaan bagi mendengar keluhan rakyat. Penghapusan tol ini boleh dilakukan menurut Menteri Kerja Raya Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor tetapi menurut pendapat yang berbeza yang diperoleh daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa tugas kerajaan akan menjadi semakin sukar. Hal ini mungkin akan menyebabkan Malaysia muflis.
Isu penghapusan tol ini akan menyebabkan kerajaan menanggung hutang yang sangat tinggi dan apabila kerajaan menanggung hutang yang tinggi maka rakyat juga akan menerima tempiasnya. Kos pembinaan lebuh raya di Malaysia adalah sangat tinggi dan untuk menampung kembali perbelanjaan yang dilakukan kerajaan, maka sistem tol diperkenalkan.

Hal ini memang dilihat sebagai beban tetapi kaedah yang digunakan kerajaan merupakan cara yang sangat relevan bagi mengelakkan kerajaan membuat pinjaman daripada negara luar.  

ISU PTPTN

Isu penghapusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional  (PTPTN) yang diminta oleh pihak pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 merupakan cetusan idea yang disokong oleh rakyat. Hal ini kerana rakyat melihat PTPTN merupakan satu beban yang ditanggung oleh graduan Institut Pengajian Tinggi. Terdapat juga setengah pendapat yang mengatakan PTPTN mengajar anak muda dibelenggu hutang. Masalah ini kian rumit apabila para pelajar gagal membayar semula pinjaman yang diberikan oleh pihak kerajaan disebabkan masalah pekerjaan yang nilai pendapatannya tidak mampu untuk melakukan pembayaran semula.
Isu yang dibangkitkan oleh pembangkang ini memiliki kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Contohnya apabila PTPTN dihapuskan dan para pelajar diberikan pendidikan percuma, perkara ini akan memberi impak kepada pelajar. Kadar motivasi yang wujud dalam diri pelajar mungkin akan berkurang ataupun pelajar langsung tidak akan memiliki motivasi dalam diri. Usaha negara dalam membina generasi yang berkualiti akan tersekat dan mungkin tidak akan tercapai. Tetapi jika dilihat dari sudut kebaikan kepada pelajar pula, para pelajar tidak dibebani hutang dan semua golongan rakyat yang ingin belajar tidak perlu runsing untuk mencapai cita-cita mereka.

Isu ini jika diteliti amatlah rumit kerana PTPTN umpama telah sebati dalam perjalanan hidup pelajar di Malaysia. Kerajaan pula perlu memikirkan pelbagai cara sebelum melaksanakan sesuatu kepada rakyat. Jika PTPTN dihapuskan maka masalah pekerja yang bekerja di jabatan PTPTN pula akan menjadi beban kerajaan.  

ISU PILIHAN RAYA UMUM KE-13

Menjelang 5 Mei 2013 Malaysia menghadapi kepelbagaian warna yang membezakan ideologi rakyat. Pelbagai isu yang timbul yang digunakan dalam manifesto para calon yang ingin meraih kepercayaan rakyat. Banyak isu yang mula dibangkitkan oleh parti-parti di Malaysia. Bagi pihak Pakatan Rakyat mereka mula membangkitkan isu royalti yang menjadi hak rakyat, ketelusan Suruhan Jaya Pilihan Raya, isu minyak, isu pendidikan percuma dan sebagainya.
PRU13 kali ini dilihat kebangkitan golongan muda yang memperjuangkan ideologi masing-masing. Namun masalah kain memberati pihak kerajaan apabila ketua pembangkang memperlihatkan masalah yang berlaku di Lahad Datu dan mengatakan bahawa kerajaan gagal dalam menangani pencerobohan tentera Sulu.

Isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang ibarat racun bagi pihak kerajaan tetapi kerajaan tidak pernah berputus asa dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat di samping memperbaiki kekurangan yang wujud dalam corak pemerintahan. PRU13 ini merupakan medium bagi rakyat untuk memilih kepimpinan yang tepat bagi mencapai kehendak rakyat.

ISU PENDIDIKAN PERCUMA

Pendidikan merupakan satu keperluan yang perlu diisi oleh semua insan. Pendidikan dilihat sangat penting kerana melalui pendidikan sesebuah generasi akan dilihat berkualiti ataupun sebaliknya. Dalam menjalani kehidupan manusia berlumba-lumba untuk mencapai matlamat hidup mereka dan cara untuk mencapai sasaran hidup itu mereka memerlukan ilmu dan ilmu itu pula dicedok daripada lubuk pendidikan.
Slogan ‘pendidikan percuma’ dicanangkan bagi membolehkan pendidikan menjadi hak semua. Pendidikan percuma hanyalah jalan terakhir bagi merealisasikan slogan ‘pendidikan ialah hak semua’. Namun pendidikan percuma sebenarnya telah lama wujud di Malaysia. Hal ini kerana bagi pelajar sekolah yang tidak berkemampuan dan memiliki keluarga yang berpendapatan rendah maka mereka akan diberi tanggungan dan biasiswa oleh pihak kerajaan.

Jelas dilihat bahawa kerajaan sebenarnya telah memberikan pendidikan secara percuma bergantung pada keadaan keluarga dan kemampuan mereka. Hal ini bertujuan untuk memastikan bahawa golongan yang benar-benar memerlukan akan mendapat hak mereka dan bagi mereka yang berkemampuan ialah membantu kerajaan menaik taraf ekonomi dan kualiti pembelajaran dalam negara. Bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi pula, kerajaan telah menanggung separuh daripada perbelanjaan sebenar dan perkara ini jelas dilihat bahawa kerajaan amat menitikberatkan tahap pendidikan dan kemampuan rakyat untuk mendapatkan hak mereka.

ISU BALAK DI KEDAH

Sebagaimana yang kita tahu, masalah penebangan balak yang telah digembar-gemburkan oleh media membuatkan Kedah diberi perhatian oleh rakyat.  Penebangan hutan yang ingin dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah di Pedu, dikatakan telah mendapat tentangan daripada Pengarah Perhutanan negeri itu. Namun isu itu telah dijernihkan kembali apabila pengarah perhutanan Kedah menjelaskan tidak ada tentangan untuk melakukan penebangan balak di kawasan itu tetapi cuma tidak bersetuju sekiranya kawasan itu dibangunkan.
Persoalan kian wujud apabila kebimbangan mula hadir sekiranya penebangan dilakukan. Antara masalah yang dapat dilihat apabila berlaku penebangan balak dan hutan, umpama mengundang bencana alam yang tidak mampu diduga dan memerlukan cara  penyelesaian sekiranya timbul masalah sedemikian.

Namun perkara ini sebenarnya telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan negeri dan pengarahnya berkata bahawa projek perladangan tidak akan menjejaskan kawasan perhutanan dan juga tidak akan menyebabkan banjir. Jelaslah di sini bahawa masalah yang diwujudkan oleh parti politik sebenarnya telah menyebabkan keadaan ini dilihat semakin bermasalah.

Kenal pasti suatu isu di dalam negara atau di luar negara sama ada isu sosial atau politik atau pendidikan. Beri ulasan anda.

Masalah konflik di Syria hari ini dilihat semakin parah dan mendapat perhatian seluruh umat Islam dunia. Konflik yang berlaku di antara Syiah dan Sunni itu memberi tamparan yang agak hebat dalam dunia Islam. Hal ini kerana banyak negara Islam mengalami peperangan saudara. Proses pembelajaran dan pengajaran dilihat terbantut dek kerana keganasan yang mulai merebak ke serata tanah Syria. Jika kita lihat terdapat ramai pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran dalam sudut keagamaan di Syria. Peperangan yang berlaku ini telah membantutkan urusan pengajian.
Di samping itu terlalu banyak kezaliman yang berlaku. Revolusi yang berlaku disebabkan oleh cara pemerintahan yang dijalankan secara diktator. Perkara ini telah membangkitkan semangat rakyat untuk berjuang membantah penindasan yang jelas dilakukan oleh kerajaan Syria. Bencana kemanusiaan yang berlaku ini seolah-olah mimpi ngeri yang meragut keselesaan rakyat di Syria. Bencana ini juga dianggap satu penghinaan kemanusiaan yang amat dahsyat.
Jelaslah bahawa revolusi yang berlaku sebenarnya gambaran hati rakyat yang tertindas. Selain itu rakyat inginkan perubahan dari sudut pemerintahan dan menghapuskan kekejaman yang bertunjang sekian lama di bumi Syria itu. Namun pergelutan yang berlaku masih tidak menemui jalan penyelesaian apabila suara rakyat masih tenggelam oleh kekejaman peluru dan hawa nafsu yang tidak pernah kenyang.

  

APAKAH CINTA?

Cinta merupakan  satu perkataan yang tidak mampu terpisah daripada makhluk yang bernama manusia. Definisi cinta itu luas dan cara penilaiannya berbeza-beza. Cinta sebenarnya satu perasaan yang wujud dalam hati yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dijamah dengan pancaindera tetapi dapat dirasa dalam bentuk kerohanian. Segelintir manusia mengatakan lambang cinta itu adalah pengorbanan tetapi cinta itu berkait dalam banyak sudut dalam kehidupan. Pengorbanan merupakan salah satu daripada nilai cinta. Dalam cinta pula terdapat bentuk-bentuk rasa yang sukar untuk diterjemahkan iaitu rindu, sayang, kasih dan cinta.

Cinta itu pula merupakan anugerah Tuhan kepada setiap orang dan bagi setiap orang rasa cintanya berbeza dan tidak akan mampu untuk dilakar dalam apa-apa jua bentuk. Kesudahan bagi cinta yang sempurna ialah pernikahan. Cinta yang paling unik adalah cinta yang abadi yakni cinta kepada Tuhan semesta alam. Kebanyakan manusia yang tenggelam dalam cinta Tuhan maka dia akan merasakan cinta manusia itu tidak pernah wujud kerana bagi mereka yang mewujudkan rasa cinta itu adalah Tuhan semesta alam.  

Apakah kerjaya yang anda fikir paling sesuai dengan ijazah yang anda miliki. Kemukakan tiga (3) hujah yang boleh meyakinkan majikan untuk mengambil anda bekerja.

Bagi pemegang ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran perniagaan, pekerjaan yang sesuai dimiliki ialah pekerjaan yang berkaitan dengan pentadbiran. Contohnya ialah eksekutif pentadbiran yang skop kerjanya merangkumi tentang mentadbir urusan organisasi seperti alatan  pejabat, pergerakan kenderaan dan sebagainya. Sebelum mendapatkan kerja antara perkara yang saya boleh yakinkan majikan untuk mengambil saya sebagai pekerja ialah, saya memiliki kemampuan yang berbeza dengan orang lain.

Kemampuan yang saya miliki ialah saya merupakan seorang yang berpegang kepada prinsip. Dalam melakukan pelbagai perkara tidak mengira hal yang kecil mahupun besar, prinsip merupakan tulang belakang dalam pelaksanaan sesuatu. Selain itu saya juga merupakan seorang yang menganggap masalah sebagai peluang untuk melihat tahap keyakinan diri. Saya juga berkeupayaan dalam memberikan buah fikir dalam skop permikiran yang luas dan memiliki semangat kerja berkumpulan. Perkara ini lebih meyakinkan diri saya untuk menyesuaikan diri di alam pekerjaan.

Bagi saya kelebihan yang ada dalam diri adalah tulang belakang yang membuatkan saya tidak mudah berputus asa dalam mencapai tahap yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkenaan.

Selain ijazah dan ilmu-ilmu yang anda pelajari dalam tempoh pengajian anda di universiti, apakah kemahiran lain yang dapat memberi nilai tambah dalam usaha anda mempersiapkan diri untuk memasuki alam kerjaya.

 Masalah yang dilihat menjadi racun bagi graduan pusat pengajian tinggi pada hari ini ialah masalah pasaran kerja  yang semakin mengecil. Hal ini menyebabkan ramai graduan lepasan IPTA dan IPTS mengalami pengangguran.
Selain itu mereka ditawarkan kerja yang tidak menepati bidang pengajian yang dimiliki Ini merupakan masalah yang kian meredup dan membimbangkan para graduan. Persaingan yang terlalu hebat telah menutup ruang mudah bagi graduan untuk mendapatkan kerja yang bersesuaian dengan bidang yang telah dipelajari di IPTA mahupun IPTS. Pada hari ini kemahiran kendiri amatlah penting untuk menyerlahkan individu dan membezakan dirinya dengan orang lain. Antara kemahiran kendiri yang sukar didapati dalam diri para graduan ialah kemahiran berinteraksi.
Kebanyakan graduan gagal menyerlahkan diri mereka dalam penggunaan bahasa yang baik. Hal ini disebabkan kurang latihan atas bakat yang terpendam. Apabila mereka gagal untuk meyakinkan diri maka, persepsi yang negatif akan timbul. Selain itu setiap kemahiran perlu digilap agar lebih tajam dan mampu mempengaruhi orang lain serta menjadikan kemahiran itu sebagai kelebihan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Medium yang perlu digunakan untuk mempengaruhi orang lain terhadap diri kita ialah komunikasi.
Seseorang yang petah bercakap dan aktif akan lebih diberi perhatian berbanding seseorang yang pendiam dan kurang idea. Kemahiran komunikasi merupakan aset yang perlu ada dalam diri setiap graduan. Oleh itu cara komunikasi yang baik adalah peluang bagi seorang graduan untuk menghadapi alam kerjayanya. 


BUDAYA BANGSA LAIN YANG BOLEH DIPELAJARI

Budaya merupakan tulang belakang bagi setiap bangsa dan juga menjadi identiti kepada masyarakat setempat. Setiap bangsa akan bangga dengan budaya mereka kerana mereka hidup dengan cara yang telah digariskan dan dibudayakan. Seluruh masyarakat di dunia memiliki budaya mereka dan antara budaya yang boleh menjadi ikutan ialah budaya masyarakat Jepun.

Masyarakat Jepun mengamalkan budaya menepati masa dan mereka sangat patuh pada masa. Disebabkan budaya ini Jepun telah mencapai status negara maju yang dikenali di mata dunia. Patuh akan masa ialah satu bentuk disiplin yang sangat hebat dan perlu dicontohi oleh semua orang. Hal ini kerana segala bentuk kejayaan memerlukan kepatuhan pada masa seperti yang diamalkan oleh masyarakat Jepun. Jika kita lihat dari sudut agama Islam juga menekankan tentang nilai masa yang sangat berharga. Oleh itu, budaya menepati masa ini adalah kunci kejayaan bagi semua orang kerana apabila seseorang itu menjaga masanya, maka masanya tidak akan terbuang dengan sia-sia.