Tuesday, 28 May 2013

WAHAI BAPA

Dikau bagai rembulan penuh..
Menyatakan cahaya walau dalam rimbun pepohon..
Andai dedaun kering menjadi baja…
Bagi tanah-tanah lembap..
Dikau pula, penyubur hati dunia..
Kami ingin menumpang dirimu..
Di bawah cahaya kami berbayang…
Dikau tidak berbayang…
Dikau tidak mampu digambarkan…
Sekiranya alam jadi pencerita..
Pasti kelu lidahnya alam..
Tidak mampu menggambarkan..
Di mana permulaan dan di mana akhirnya kalam…
Pada dirimu terlihatnya taman..
Pada dirimu terkerdip tatah-tatah berlian..
Pada dirimu lengkaplah semuanya..
Wahai bapa sekalian bapa…
Sungguh mujahadah dalam merindumu…
Tak lepas dari dusta..
Daku terpelanting diduga dan diduga…
Wahai bapa sekalian bapa…
Seni bicaramu halus mulus…
Kasih sayangmu merantai neraka…
Syafaatmu menutup murka…
Wahai bapa sekalian bapa..
Penyata akhlak yang paling mulia…
Sejahteralah Dikau selamanya…
Wahai Allah yang Maha Esa…
Campakkan rasa kasih buatku…
Lemparkan rasa sayang padaku..
Limpahkan serpihan rindu untukku…
Agar aku dirinya itu…
Walau tidak kulihat di kaca mata…
Cukuplah daku merasa…
Indahnya bercinta dengan Nabi Saw…

TERIMA KASIH

Terima kasih
Cuma itu yang kudamba…
Terima kasih…
Itu tanda orang yang menghargai…
Terima kasih..
Sekadar ucapan biasa…
Terima kasih…
Itu tanda sebuah ikhlas…
Terima kasih…
Keramatnya dirasa…
terima kasih…
perkataan anak kecil…
terima kasih..
tapi…
kerana terima kasih itulah..
mata mampu bergenang…
kasar menjadi lembut..
sakit mampu sembuh…
dendam jadi debu..
yang pasti..
terima kasih Tuan punya badan..
terima kasih wahai Tuhan…
memberi daku erti kehidupan…

terima kasih Tuhan…

TERIMA KASIH TUHAN

Aku tiada tahu apa yang mampu kutulis tentangmu…
Bagaimana wajahmu??aku tidak pernah melihatnya…
Apatah lagi senyumanmu…dan aku tidak mahu ambil tahu..
Kerana aku kenalmu melalui hijab alam…

Kuhulur sepatah salam menjunjung agama…
Dikau sahut sambil jabat mesra jawapannya…
Aku tahu di balik jasadmu itu tersembunyi…
Tabir-tabir ilmu yang sentiasa memperbaharui jiwaku…

Ketika roda nasib itu berputar dan berputar…
Ada kalam Tuhan diselit dalam percakapan…
Lantas aku terdetik bertanya Tuhan…
Siapa dia??mengapa dia???
Lalu wujud ilham jawapan…bunyinya bermaksud…
Dialah sahabat dia juga teman…

Biar waktu bergulir…
Aku terbangkan senyumanku melalui angin untukmu sahabat…
Kerana aku tidak akan tatap wajahmu…
Apatah lagi kau untuk lihat wajahku…
Biar alam jadi dinding…
biar waktu jadi batas…
kita kenal tanpa lihat…
kita mesra tanpa suara…
kita berkongsi penuh rasa…
yang pastinya semuanya dari Tuhan…

Namun ketika  Tuhan izinkan aku berfikir…
kucuba kecap nikmat fikir…
bila aku tenggelam dalam fikir…
aku sedar kau sahabatku yang dihijab wajah oleh Tuhan…

Andai dikau berteleku di sejadahmu…
Menadah keampunan dengan air mata..
kenanglah daku dalam munajatmu…
walau tak jumpa di sini, biar jumpa di tempat abadi….

Bila ada senyuman bergarit di bibir..
Aku berterima kasih buat Tuhan…
Kerana izinkan daku ini miliki sahabat yang berjuang…
Terima kasih Tuhan…

Terima kasih Tuhan…

Terima Kasih Ibu

Tika aku pandang ke langit Tuhan..
Kulihat simpulan awan berlari laju…
Teringat zaman kecilku…
Duduk di pangkuanmu lalu…
Dibelai atas kepala dikucup di pipi..
Aku terjun ke zaman itu, melihat pengorbananmu…

Sebenarnya…
Betapa jauhnya waktu telah ditinggalkan…
Hari ini aku melihat…
Di bahagian atas kepalamu…
Rambut yang mengunjungi kini sudah memutih..
Di dahimu bercorak garis-garis tua..
Di bahumu tergalas selaksa peristiwa…
Sehingga kulihat peristiwa itu di air mukamu yang syahdu…

Kau masih terus berjalan…
Dengan kakimu itu…kaki yang sudah tua…
Masih menjamah dengan tanganmu itu…
Masih berbantalkan lengan dalam tidur nyenyakmu…
Dan aku….sudah pandai memerhati waktu…
Dan aku….sudah dewasa waktu ini…
Aku tidak mahu membuang waktu…
Bila masa masih bersisa…biar kuhampar baktiku…
Menjadi alas sisa hidupmu…
Kerana kini aku mulai faham…
Tuhan kurniakan dikau buatku…
Agar aku hargai pengorbananmu..
Agar aku tak melonjak lupa diri…

Setiap sifat dalam diriku..
Kau benihkan dengan kasih sayangmu…
Terima kasih ibu…menjadikan aku insan..
Walaupun serba kurang…membuat aku tahu..
Daku ini terselimut dalam kasih sayangmu..
Daku ini didakap cintamu yang luhur…
Benar…dikau sudah tua…
Tapi setiap gerakmu tiada luntur dengan kasih sayang…
Dikau langsungkan kegembiraan ku…
Namun, di malam hari kau bilas tangisan mu dengan doa…
Ingin ku bayar nikmat Tuhan yang mengelilingi ku…
Namun, aku hamba Tuhan yang banyak punca kekurangan…
Tuhan, anugerah Mu terlalu hebat…
Menghadirkan seorang ibu untuk daku hamba MU…

Duhai ibu..
terima kasih…cinta mu mendewasakanku…
Duhai ibu…

Terima kasih…

SAAT PERKHABARAN DATANG

Kukikis karat tebal di hati..
Jemari ku luka..
Tertikam karat-karat hina..
Siapa yang hina?
Aku atau karat yang aku bina…?
Aku terus mengikis karat itu…
Mengharap air mata mampu
Melekukkan karat-karat di hati…
Seperti air melekukkan batu..
Kian hari…
Yang berkarat semakin teruk..
Jemari ku lumpuh…
Tangan ku patah…
Aku hilang daya…
Saban hari aku sedar..
Tapi aku tak bernyawa…
Saban malam aku terjaga..
Tapi langkahku sama juga…
Saban petang aku berjanji…
Aku masih mungkiri..
Menebal rasa berat…
Terhempap di bahu hati..
Tergalas di pundaknya jiwa…

Dulu rasanya enak…
Tiada fikir hujung dan pangkal..
Sekali melangkah ke sini..
Hujungnya tak mampu disampai kenderaan…
Pangkalnya tak tersentuh fikir waras…
Berkali diterjemah…
Tiada maksud terungkai..
Bila sampai rasa dan kefahaman…
Gambarannya perbuatan..
Saat perkhabaran datang…

Barulah tahu peritnya di jalan Tuhan…

BERUBAH

Rindu dendam…kabus tebal diari hidup…
Ohh…lintasan demi lintasan..
Tiada dinding jadi penghalang ….
Tak sembuh hari ke hari…
 Mestikah aku lari…
Melepas siksa di hati…?
wangianmu…meniti di badan angin…
Ohh..dinginnya…menoreh ke tulang hitam…
Ngilu kejam tiada tahan…
Siapa kau yang menjelma???
Tak pernah sebegini…

Kemuncak rindu yang mati…

Berbicaralah padaku…
Dengan cara bahasamu…
Biar aku tahu…sebenar hadirmu…
Sedarkah???
berubah????

Kau tak serupa lagi…
Manikam di langit gelap…
Mustahil untuk direnung…
Jauh kabur bentuk…

DI SANA UKHRAWI

Malam ini aku bersedih lagi..
Aku mencari punca kesedihan itu..
Mencari dan terus mencari..
Setelah bangkit dari tidur malam ini…

Angin di perbukitan kawasan ini…
Bagai menggelupur menangisi sesuatu..
Menghempap dedaunan tanpa rasa belas mahupun kasihan..
Daun berselirat di wajah bumi..
Berburung berperang sesama sendiri…

Malam ini hatiku berbisik lagi..
Hai hati…apakah yang kau tinggalkan hari demi hari??
Di balik pintu bilik di rumahmu, apa yang kau tinggalkan?
Aku terpaku di balik suara hati itu…

Di belakang pintu..
Ku tinggalkan seuncang besar kekuatan..
Kemari hadir di sini…
Ditemani rasa sepi berpanjangan..

Aku selak selimut yang tertebar di atas pembaringanku..
Mengintai-intai takdir yang diusung waktu..
Ketika waktu siang aku bermimpi aku laungkan azan..
Lantas pula mengimamkan solat jemaah yang ramai…

Aku mencari-cari..
Getus hati yang bercelaru..
Kenapa jadi begini dan begitu..
Kali ini kuselak daun pintu…
Merasakan Tuhan bersembunyi di balik itu..

Alam mengherdikku…
Aku bukan anak Tuhan..tapi aku hamba Tuhan..
Aku berjanji ingin balik ke hadrat Tuhan..
Sampai setengah jalan…
Dipukul badai nafsu..
Dilibas cemeti duniawi..
Aku lupa usul yang kupaut dulu..

Di malam hari ini…
Ketika ada rasa sayu bermukim..
Hati masih berkata-kata..
Ku cari di mana mulutnya hati itu..
Sebelum kutemui jawapannya..
Hati itu berpuisi merdu..
Dunia itu main-main tempat berlabuh sehari atau setengah hari..
Marilah mendaki tebing tinggi..

Di sana adanya ukhrawi..tempat selama-lamanya abadi…